Tips Petua Semulajadi Alami Untuk Bayi Batuk Berkahak
Bayi terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kerana sistem imunisasinya belum terbentuk sepenuhnya. Beberapa jenis penyakit yang biasanya dialami oleh bayi adalah demam, selsema, dan batuk berkahak. Batuk dengan kahak biasanya disebabkan oleh virus. Penyakit ini membuatkan bayi tidak selesa dan mudah menangis terutamanya apabila menghadapi batuk berkahak kerana ianya mengganggu sistem pernafasan.
Penggunaan ubat kepada bayi dan kanak-kanak di awal usia sangatlah tidak digalakkan kecuali atas nasihat dan saranan doktor. Justeru, apakah cara atau tips dan petua semulajadi yang boleh dilakukan oleh ibu di rumah untuk menghilangkan kahak pada bayi ini. Di sini SimpliRub akan berkongsikan tentang tips atau petua yang boleh dipraktikkan untuk ibu-ibu untuk merawat bayi tanpa perlu memberikan ubat
Tips Pertama : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Jauhkan bayi dari pencemaran
Perkara ini sangat penting untuk bayi terutamanya ketika si kecil menghadapi batuk berkahak. Menjauhkan bayi daripada pencemaran udara atau asap rokok sangat membantu si kecil untuk melegakan batuknya. Ianya kerana udara kotor dapat meningkatkan kerengsaan dan batuk yang bayi alami dan menyukarkan si kecil ibu bernafas dengan baik.
Tips Kedua : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Melembabkan Udara di persekitaran bayi
Tips yang boleh dilakukan oleh ibu yang seterusnya adalah dengan menjadikan udara di sekeliling bayi lembab terutamanya di bilik. Udara kering boleh menjadikan tekak kering dan mengakibatkan paru-paru banyak kahak dan kerongkong bayi tidak selesa. Oleh itu ibu boleh menghidupkan pelembab udara atau humidifier di bilik bayi ibu untuk menjadikan udara di sekelilingnya lebih lembap. Cara ini dapat mengurangkan lendir di kerongkong dan ia juga dapat membantu pernafasan bayi ibu dan memudahkan proses pembuangan dan penyingkiran kahak.
Tips Ketiga : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Tepuk belakang bayi dengan lembut
Bayi yang masih kecil masih belum dapat mengeluarkan kahaknya sendiri. Jadi, apa yang boleh ibu lakukan ialah dengan menepuk belakang bayi secara perlahan dan lembut. Tujuannya adalah untuk membantu menghilangkan kahak yang terdapat di sekitar dada bayi ibu.
Sekiranya kahak muncul di kawasan mulut selepas ibu melakukan urutan, elakkan menghisapnya dengan mulut kerana dikhuatiri mendapat jangkitan kuman pada kahak tersebut. Sebaliknya, gunakan kain yang bersih dan lapkan pada kahak bayi untuk mengeluarkannya. Pastikan ibu melakukan ini sebelum bayi minum susu ibu atau mengambil apa-apa makanan yang lain untuk mengelakkan risiko muntah ketika melakukan urutan tersebut.
Tips Keempat : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Dapatkan rehat yang cukup
Mendapatkan rehat yang cukup pada si kecil dapat membuatkan tubuh badannya kuat untuk melawan jangkitan yang menyebabkan batuk dengan kahak. Rehat dapat memulihkan dan meningkatkan sistem ketahanan badan. Sel imun akan lebih berkesan dalam memusnahkan sel yang dijangkiti virus penyakit.
Tips Kelima : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Menukar Kedudukan Tidur Bayi
Antara cara yang boleh ibu lakukan pada bayi adalah dengan meletakkan bayi tidur dalam posisi yang berbeza. Kedudukan tidur yang betul untuk bayi dapat membantu menghilangkan kahak. Caranya ialah dengan meletakkan kepala lebih tinggi daripada badan menggunakan beberapa helai tuala. Tujuannya melakukan kedudukan ini adalah untuk mengatasi kesesakan hidung dan mengeluarkan kahak di saluran pernafasan mereka.
Tips Keenam : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Kaedah Steam atau wap air
Cara melegakan batuk dengan kahak pada bayi juga dapat dihilangkan menggunakan kaedah steam atau wap air suam. Kaedahnya sangat mudah, Ibu hanya perlu menyediakan air suam di baldi atau bekas besar. Seterusnya, duduk di dalam bilik yang tertutup atau di bilik air bersama dengan bayi ibu.
Biarkan bayi menyedut udara dari wap air suam berkenaan selama lebih kurang 15-20 minit. Wap akan membantu si kecil bernafas dengan lebih mudah, membersihkan tekaknya dan menipiskan kahaknya. Jika ibu ingin melakukan kaedah ini, sedikit peringatan supaya berhati-hati dan jangan membiarkan bayi ibu terlalu dekat dengan lembangan yang berisi air tersebut. Ianya supaya dapat mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Tips Ketujuh : Petua Semulajadi Untuk Bayi Batuk Berkahak
- Madu
Petua ini boleh digunakan untuk ibu di luar sana yang mempunyai bayi berusia 1 tahun ke atas atau yang sudah boleh diberikan makanan atau minuman selain dari susu. Caranya adalah dengan menggunakan madu sahaja untuk mengatasi kahak yang berlebihan di tekak bayi.
Madu telah terbukti berkesan untuk menghilangkan gejala batuk dan sakit tekak yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak jika dimakan secara berkala. Madu juga boleh mempercepatkan penyembuhan keradangan dan menghilangkan kahak.
Jika bayi atau anak ibu tidak boleh menelan madu kerana terlalu manis, ibu boleh mencampurkan madu ke dalam air kosong atau teh suam. Penggunaan lemon sedikit juga boleh digunakan untuk rasa yang lebih segar.
SimpliRub harap perkongsian artikel dan video ringkas di bawah berkaitan dengan tips atau petua semulajadi dapat memberi panduan kepada ibu-ibu di luar sana terutamanya bagi ibu muda yang baru mempunyai bayi untuk merawat bayi batuk berkahak tanpa memberikan ubat-ubatan.