Bagi kebanyakan pasangan terutamanya pasangan muda yang baru menyambut kelahiran bayi pertama, anda pastinya akan berasa sedikit kekok dan akan cepat cemas bila berlaku sedikit perubahan terhadap fizikal dan keadaan bayi baru lahir anda.

Kebanyakan masalah fizikal atau kesihatan yang berlaku adalah perkara normal untuk beberapa minggu pertama selepas kelahiran. Namun, sentiasa yakin dengan naluri anda jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan anda kena cepat-cepat dapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada doktor.

Abdominal Distension

Kebanyakan perut bayi baru lahir akan sedikit terjojol keluar atau nampak sedikit buncit. Hal ini adalah hal yang biasa yang akan dialami oleh bayi terutamanya selepas menyusu. Namun, diantara tempoh menyusu, perut tersebut biasanya akan terasa lembut.

Jika anda menyentuh perut bayi anda dan merasakannya sedikit bengkak serta keras, ditambah pula jika bayi anda sudah lama tidak buang air besar atau lebih daripada 1-2 hari kerap muntah, anda perlu segera untuk mendapatkan khidmat doktor. 

Hal ini berkemungkinan besar disebabkan oleh angin atau sembelit. Jangan ambil mudah kerana ia mungkin akan membawa atau merupakan petanda kepada masalah usus yang lebih serius berbanding dengan apa yang anda bayangkan. 

Jika anda menyedari bayi anda sedang mengalami perubahan fizikal yang sebegini, anda kena perlu lebih berhati-hati dan berwaspada. Dapatkan nasihat doktor berkenaan apa yang patut anda lakukan supaya ia tidak akan berulang lagi.

Kecederaan Bayi Baru Lahir

Kecederaan sewaktu lahir atau birth injuries merupakan salah satu diantara perkara yang paling mudah untuk dialami oleh bayi terutamanya jika proses bersalin memakan masa yang terlalu lama atau proses tersebut sangat susah. 

Saiz bayi yang besar juga menjadi faktor yang mendorong kepada kecederaan sewaktu lahir. Dalam kebanyakan situasi, bayi akan pulih dalam kadar segera daripada kecederaan-kecederaan ini, namun ada juga yang terpaksa menanggung derita kecederaan ini untuk satu tempoh masa yang agak lama. 

Antara jenis kecederaan yang paling kerap berlaku kepada bayi yang baru lahir adalah patah tulang selangka. Ia boleh segera pulih jika tangan pada bahagian yang terlibat tidak dibiarkan bergerak. 

Anda mungkin akan terkejut selepas beberapa minggu dimana akan ada benjolan yang akan terbentuk pada bahagian yang patah tersebut. Jangan risau. Ia merupakan perkara normal dan anda patut berasa lega kerana ia menunjukkan bahawa tulang baru sedang terbentuk untuk memulihkan masalah tersebut. 

Otot menjadi lemah merupakan salah satu lagi daripada kecederaan sewaktu lahir yang biasa dihadapi oleh bayi. Ia biasanya disebabkan oleh tekanan atau regangan terhadap urat saraf yang berlaku sewaktu proses bersalin. 

Otot-otot tersebut biasanya akan menjadi lemah pada satu bahagian muka atau bahu atau lengan yang biasanya akan segera pulih dalam tempoh beberapa minggu. Walaupun begitu, anda perlu bertanya kepada doktor untuk menunjukkan anda cara untuk merawat dan memegang bayi anda untuk mempercepatkan lagi proses pemulihan.

Blue Baby – Kesan Biru Pada Bayi Baru Lahir

Keadaan fizikal biasa yang anda boleh lihat pada bayi yang baru lahir adalah tangan dan kaki yang sedikit membiru. Namun, ia bukanlah hal yang anda perlu terlebih risaukan. Jika tangan dan kaki bayi anda menjadi biru disebabkan oleh keadaan cuaca atau suhu yang sejuk, ia akan perlahan-lahan berubah menjadi merah/”pink” sebaik sahaja suhu mulai meningkat.

Kebiasannya muka, lidah dan bibir akan menjadi sedikit biru terutamanya jika bayi baru lahir tersebut kuat menangis. Namun, bila bayi tersebut mulai lega dan bertenang, warna kulit pada bahagian-bahagian tersebut akan kembali normal. 

Tetapi, jika hal ini berlarutan dan ditambah dengan kesukaran bernafas dan kesukaran untuk menyusu, ia merupakan tanda bahawa hati atau jantung tidak berfungsi dengan baik dan berkemungkinan besar bayi anda tidak mendapat oksigen yang mencukupi didalam darah. Jika hal ini berlaku, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan daripada doktor. 

Bayi Batuk

Jika bayi yang baru lahir menyusu dengan terlalu laju atau cuba untuk minum pada kali pertama, berkemungkinan besar bayi tersebut akan mengalami batuk-batuk. Namun, keadaan bayi batuk ini hanyalah sementara dan ia sepatutnya berhenti sebaik sahaja bayi tersebut dapat menyesuaikan diri. 

Jikalau keadaan bayi batuk ini berterusan berlaku, anda perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor. Besar kemungkinan ada masalah yang melibatkan paru-paru atau sistem pencernaan.

Bayi Menangis

Semua bayi baru lahir, akan menangis walaupun tanpa sebab. Kalau anda dah pastikan yang bayi anda dah kenyang, sendawa, dan dipakaikan lampin yang bersih tapi masih menangis, cara terbaik adalah dukung, bercakap atau menyanyi sampailah bayi anda berhenti menangis.

Satu perkara yang anda kena berikan perhatian serius adalah jangan spoil bayi anda dengan memberikan perhatian yang berlebihan. Risau bayi anda akan mudah menangis bila tiada yang menemaninya. Kalau cara yang disebutkan tadi tak berkesan, “balut” bayi anda dengan selimut.

Anda akan jadi makin biasa dengan pattern menangis bayi anda lama-kelamaan nanti. Namun, jika ada masanya bayi menangis dan bunyi tangisan bayi menangis tersebut sedikit pelik seperti bunyi menahan kesakitan atau menangis terlalu lama luar dari kebiasaan, berkemungkinan besar bayi anda mengalami masalah kesihatan. Dapatkan nasihat dokor jika keadaan ini berlaku. 

Kesan Forsep Pada Bayi Baru Lahir

Jika forsep digunakan sewaktu menyambut kelahiran bayi anda, ia berkemungkinan besar akan meninggalkan kesan merah atau kesan calar pada muka dan kepala bayi anda. Hal ini adalah disebabkan oleh kesan besi tersebut yang menekan pada kulit bayi baru lahir. 

Biasanya ia akan hilang selepas beberapa hari. Akan ada masanya dimana ia akan meninggalkan kesan benjolan pada kawasan tersebut disebabkan oleh kecederaan ringan yang dialami oleh tisu dibawah lapisan kulit. Namun, mengikut kebiasaannya ia akan hilang dan pulih selepas 2 bulan. 

Jaundice/Penyakit Kuning

Kebanyakan bayi baru lahir yang normal dan sihat akan mempunyai sedikit kesan-kesan berwarna kuning pada kulit mereka yang mana ia dikenali sebagai jaundice. Jaundice lebih popular dengan nama penyakit kuning. Ia disebabkan oleh pengumpulan bahan kimia yang dikenali sebagai bilirubin didalam salur darah bayi tersebut. 

Ia berlaku disebabkan oleh hati yang masih berada pada tahap pramatang yang mana ia masih belum mampu untuk menjalankan fungsinya dengan efisien iaitu untuk membuang bilirubin daripada salur darah. 

Bilirubin merupakan proses pemecahan normal sel darah merah. Kebiasaannya bayi baru lahir akan mengalami penyakit kuning pada tahap sederhana. Keadaan ini tidak membahayakan namun ia akan mula menjadi bahaya jika tahap bilirubin tersebut menjadi tinggi.

Walaupun penyakit kuning merupakan salah satu daripada keadaan yang biasa dialami bayi baru lahir dan mudah untuk dirawat, namun jika tahap bilirubin terlalu tinggi dan tidak dirawat dengan baik, ia akan membawa kepada masalah yang lebih parah seperti kerosakan sistem saraf dan juga otak.

Penyakit kuning biasanya mudah untuk dialami oleh bayi baru lahir yang menyusu, terutamanya bayi baru lahir yang tidak disusukan dengan baik. Biasanya ibu yang menyusukan bayi baru lahir perlu menyusukan bayi mereka sekitar 8 ke 12 kali sehari dimana ia akan membantu untuk mengekalkan tahap bilirubin pada tahap paling rendah.  

Biasanya penyakit kuning pada bayi baru lahir akan bermula pada bahagian muka terlebih dahulu kemudian diikuti ke dada dan perut. Akhir sekali, ia akan mula merebak ke bahagian tangan dan kaki. 

Bahagian mata putih juga berkemungkinan besar akan menjadi sedikit kekuningan. Doktor biasanya akan memeriksa badan bayi baru lahir dan jika terdapat tanda-tanda yang bukan sahaja bergantung kepada warna kekuningan pada kulit, ia juga akan mengambil kira umur dan faktor-faktor lain.

Ada kemungkinan besar doktor akan menjalankan ujian keatas kulit dan darah untuk mendiagnosis keadaan. Jika penyakit kuning berlaku sebelum bayi baru lahir berusia 24 jam, ujian bilirubin perlu dilakukan untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.

Bagi bayi baru lahir yang berusia 3 ke 5 hari pula, doktor perlu memeriksa mereka kerana pada masa ini tahap bilirubin adalah pada tahap tertinggi. Disebabkan oleh hal ini, bayi yang discharge sebelum berusia 72 jam perlu bertemu semula dengan doktor 2 hari selepas discharge. Namun, ada bayi baru lahir yang perlu bertemu doktor lebih awal: 

  • Bayi baru lahir yang mempunyai tahap bilirubin yang tinggi sebelum keluar hospital
  • Bayi yang lahir awal (sekitar 2 minggu sebelum due date)
  • Terdapat tanda-tanda penyakit kuning pada bayi 24 jam selepas lahir
  • Bayi yang tidak menyusu dengan elok
  • Mana-mana bayi yang mengalami kesan calar atau pendarahan dibawah kulit kepala biasanya yang disebabkan oleh proses sewaktu kelahiran
  • Bayi yang mempunyai ibubapa atau adik beradik yang mempunyai tahap bilirubin yang tinggi dan pernah menjalani rawatan untuk penyakit kuning

Bila doktor sahkan yang adanya tanda penyakit kuning dan perlu dirawat, tahap bilirubin boleh dikurangkan dengan cara meletakkan bayi baru lahir dibawah lampu istimewa samada di hospital atau dirumah. 

Mata bayi akan dilindungi dengan cermin mata khas. Jenis rawatan sebegini mampu untuk menghalang dan mengelak kesan bahaya penyakit kuning. Bagi bayi baru lahir yang menyusu badan, penyakit kuning berkemungkinan akan berlanjutan selama 2 atau 3 minggu, bagi mereka yang minum susu formula pula, ia akan berlanjutan selama 2 minggu. 

Bayi Baru Lahir Letih dan Lesu

Setiap bayi baru lahir akan meluangkan kebanyakan masa mereka untuk tidur. Asalkan bayi baru lahir tersebut bangun untuk beberapa jam, menyusu dan kelihatan sihat, tiada masalah untuk bayi baru lahir menghabiskan masanya untuk tidur.

Namun, jika bayi kelihatan tidak berapa peka dengan keadaan sekeliling, tidak bangun sendiri untuk menyusu atau kelihatan terlalu letih dan tidak berselera, anda perlu segera membawanya berjumpa doktor.

Keadaan letih dan lesu yang tiba-tiba ini yang kelihatan jauh beza dengan keadaan biasa, tidak boleh diambil mudah. Bukan apa, risau ia merupakan simptom atau petanda kepada penyakit yang lebih serius lagi.

Bayi Baru Lahir Susah Bernafas

Bayi baru lahir biasanya mengambil masa beberapa jam untuk mendapatkan rentak bernafas yang normal. Seterusnya tidak akan ada masalah untuk mereka bernafas. Jika bayi baru lahir kelihatan tidak mampu untuk bernafas dengan baik, ia biasanya disebabkan oleh ruang pernafasannya yang tersumbat.

Penggunaan bahan seperti saline nasal drop dan diikuti dengan bulb syringe biasanya akan membantu untuk merawat bayi baru lahir. Kedua-duanya anda boleh dapatkan di farmasi.

Namun, jika bayi baru lahir menunjukkan sebarang tanda seperti dibawah, anda perlu segera mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor:

  • Bayi bernafas laju. Maksud bayi bernafas laju disini adalah bayi bernafas lebih dari 60 kali dalam satu minit. Namun, anda harus ingat yang bayi selalunya akan bernafas lebih laju berbanding orang dewasa.  
  • Retraction. Otot pada bahagian rusuk yang kelihatan sedikit masuk kedalam setiap kali bayi bernafas, jadi rusuknya akan kelihatan terkeluar.)
  • Hidung terlalu mengembang sewaktu bernafas yang menunjukkan tanda bayi sukar untuk bernafas.
  • Bunyi dengusan sewaktu bernafas.
  • Warna kulit kerap kelihatan biru.

Jika tanda-tanda diatas berlaku kepada bayi baru lahir, anda dinasihatkan untuk segera membawa bayi anda berjumpa dengan doktor. 

Demikianlah keadaan-keadaan biasa bayi baru lahir yang anda patut tahu. Namun, akan ada ketikanya anda melihat keadaan ini sedikit pelik. Sentiasa percaya pada naluri anda jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Similar Posts