Jika anda peka dengan berita semasa, anda pastinya kerap kali terdengar mengenai penyakit tangan kaki dan mulut atau dalam bahasa Inggerisnya “Hand, Foot and Mouth Disease” (HFMD). Walaupun jumlah kes yang dicatatkan berada pada paras yang sangat membimbangkan, masih ramai yang tidak tahu apa sebenarnya penyakit tangan kaki dan mulut ini.

Ia merupakan sejenis penyakit endemik yang kerap kali berlaku dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Saban tahun, pasti adanya kes yang direkodkan. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes yang direkodkan dan telah ada beberapa buah sekolah di Malaysia yang terpaksa ditutup untuk sementara waktu bagi mengelakkan penyebaran penyakit ini dan juga bagi mengelakkan peningkatan kes.

Punca penyakit tangan kaki dan mulut

Penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) merupakan sejenis penyakit berjangkit yang merebak hasil daripada jangkitan enterovirus seperti poliovirus, coxsackie virus A/B, echovirus dan juga enterovirus 68 – 71.

Mangsa biasanya merupakan kanak-kanak yang berusia dibawah umur 10 tahun namun ia sebenarnya berpotensi untuk menjangkiti sesiapa sahaja. Virus yang paling kerap dijangkiti kanak-kanak sehingga mengakibatkan penyakit tangan kaki dan mulut adalah coxsackie virus A16. Ia juga merupakan virus penyebab yang dianggap paling tidak bahaya.

Namun, jika ia disebabkan oleh enterovirus 71, anda harus lebih berhati-hati kerana ia berpotensi untuk mengakibatkan kematian. Hal ini kerana enterovirus 71 menyebabkan jangkitan selaput otak, jangkitan otak, masalah jantung dan jangkitan paru-paru berair.

Bagaimana penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) merebak?

Seperti yang anda sedia maklum, penyakit tangan kaki dan mulut ini merupakan sejenis penyakit berjangkit. Cara penyebarannya adalah menerusi sentuhan secara langsung dengan lelehan atau cairan yang keluar daripada beberapa tempat:

  • Lelehan atau cairan daripada hidung
  • Lelehan atau cairan daripada tekak
  • Air liur mereka yang dijangkiti penyakit ini
  • Cairan daripada lepuhan tangan dan kaki
  • Najis mereka yang dijangkiti penyakit ini
  • Komplikasi penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)

Penyakit ini turut mempunyai potensi untuk memberikan komplikasi kepada mereka yang dijangkiti. Ada kemungkinan juga untuk pesakit mengalami komplikasi berbahaya dan boleh membawa maut seperti jangkitan pada sistem saraf seperti meningngitis dan ensefalitis. Selain itu, ada juga potensi berlakunya radang pada otot jantung yang juga dikenali sebagai myocarditis.

Simptom penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)

Untuk apa-apa jenis penyakit sekalipun, adalah lebih baik untuk anda bukan sahaja tahu bagaimana ia merebak. Anda juga perlu tahu apakah simptom atau tanda-tanda seseorang itu dijangkiti penyakit tangan kaki dan mulut {HFMD).

Dengan cara ini, anda akan menjadi lebih peka dan prihatin terhadap sebarang perubahan yang abnormal yang berlaku kepada anak-anak, keluarga atau anda sendiri. Tindakan awal biasanya mampu memberikan kesan yang berbeza. Bak kata pepatah, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi”.

Antara simptom yang perlu anda tahu mengenai penyakit tangan kaki dan mulut adalah:

  • Tidak membuang air kecil melebihi tempoh masa 8 jam
  • Menunjukkan keadaan yang tidak sihat seperti rasa letih, mengantuk, pucat, resah, sukar untuk tidur atau kerap berpeluh
  • Mengalami sakit kepala
  • Mengalami demam berserta dengan suhu badan melebihi 39 darjah selsius. Demam ini kebiasaannya berpanjangan sekitar lebih dari 3 hari
  • Rasa sakit pada bahagian dalam mulut
  • Mengalami ulser mulut yang agak teruk
  • Otot tangan dan kaki menjadi lemah
  • Jangkitan yang berlaku pada salur pernafasan
  • Mengalami ulser tekak
  • Mula mengalami ruam atau bintik merah. Ia akan diturut serta oleh lepuh pada bahagian tangan, kaki dan sekitar kawasan lampin
  • Mula hilang selera makan
  • Badan mula menjadi lemah
  • Mengalami lenguh-lenguh badan
  • Berlaku jangkitan pada mata seperti bertompok atau bintik merah sekitar mata
  • Mengalami sakit perut atau cirit-birit
  • Mengalami sesak nafas
  • Mengalami muntah-muntah

Langkah pencegahan penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)

Untuk bahagian ini, anda harus berikan perhatian yang lebih terutamanya jika anda merupakan ibubapa yang mempunyai anak-anak berusia kurang dari 10 tahun. Bahagian ini menghimpunkan nasihat daripada doktor dan pakar perubatan mengenai cara untuk mengawal dan mengelakkan penyakit tangan kaki dan mulut daripada merebak.

Antara langkah-langkah pencegahan penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) yang boleh diambil adalah:

Kurangkan berkunjung ke tempat awam seperti pusat membeli belah, kolam renang awam, pusat penjagaan kanak-kanak dan bayi serta tempat-tempat awam lain yang berpotensi mempunyai jangkitan penyakit ini

Pada waktu rehat dan waktu lapang, lebihkan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti bersama-sama di rumah. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan anak-anak anda keluar bermain dengan rakan-rakan sebaya mereka

Mengamalkan penjagaan dan kebersihan diri pada tahap terbaik. Antara amalan yang paling penting adalah mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas dan selepas selesai menukar lampin. Selain itu, basuh tangan juga selepas selesai menyentuh atau merawat lepuh dan selepas selesai mencuci najis kanak-kanak.

Anda juga perlu sentiasa membersihkan permainan yang digunakan oleh anak-anak anda.

Pastikan pakaian kotor dibasuh dengan segera dan tidak dibiarkan tidak berbasuh untuk satu tempoh yang lama

Pastikan juga kawasan rumah terutamanya lantai rumah dan tandas dicuci dengan pembasmi kuman yang sesuai secara berkala

Elakkan dari berkongsi barang kegunaan harian seperti pakaian, peralatan makanan, tuala, berus gigi dan sebagainya.

Mengendalikan pembuangan lampin pakai buang dengan cermat dan betul

Jika anak anda disahkan menghidap penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD), elakkan anak anda dari melakukan serta mengikuti aktiviti luar rumah sepanjang tempoh kuarantin. Tunggu sehingga anak anda benar-benar disahkan bebas daripada virus penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) oleh doktor.

Dapatkan nasihat doktor berkenaan cara terbaik untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh anak-anak anda untuk meningkatkan lagi potensi melawan jangkitan dan serangan virus penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

Antara cadangan meningkatkan sistem imunisasi anak-anak

Kenapa tiada diceritakan cara atau perubatan khas dan spesifik untuk merawat penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD)? Sebenarnya sehingga ke hari ini, masih lagi tiada cara yang tepat yang terbukti berkesan dapat terus merawat penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

Apa yang ada dan dapat dilakukan oleh doktor dan pakar perubatan adalah cara untuk melegakan rasa tidak selesa yang terhasil daripada simptom penyakit ini. Kebanyakan mereka yang menghidap penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) akan pulih dengan sendiri dalam masa sekitar 5 ke 7 hari.

Disebabkan oleh itulah, ramai yang mencadangkan supaya meningkatkan tahap imunisasi dan kekuatan tubuh badan anak dengan mengambil supplemen seperti vitamin dan memperbanyakkan makanan yang bernutrisi tinggi.

Meskipun sedemikian, selaku ibu bapa, anda jangan sesekali mengabaikan fakta bahawa terdapat kes kematian yang direkodkan bagi mereka yang dijangkiti penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) ini. Lebih baik anda mengambil langkah pencegahan dan mendapatkan rawatan sewajarnya sesegera yang mungkin apabila simptom-simptom tersebut mula berlaku terhadap anak anda.

Sekian sahaja artikel kali ini berkaitan penyakit tangan kaki dan mulut. Bagi menjawab persoalan yang diutarakan didalam tajuk, ia akan menjadi bahaya jika anda tidak mempunyai pengetahuan berkenaan cara pencegahan dan rawatan berkaitan penyakit ini. Semoga apa yang dikongsikan dalam artikel kali ini memberi manfaat buat anda.

Similar Posts